SEBUYAU: Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi meninjau perkembangan projek jalan raya Sebuyau/Lingga berharga RM495 juta di sini hari ini.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, kerja-kerja pembinaan jajaran jalan raya Sebuyau/Lingga sepanjang 28.5 kilometer (km) itu bermula pada 5 Januari 2021 dan dijadual disiap pada 4 Mei 2025 (52 bulan).
Kos membina jalan raya berkenaan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan merupakan salah satu daripada pakej jalan utama kedua Sarawak, katanya
Beliau berkata, jalan Sebuyau/Lingga melibatkan pembinaan tiga jambatan iaitu jambatan kecil di Sungai Liggi dan Sungai Parit yang masing-masingnya panjang 50 meter dan jambatan Sungai Lingga sepanjang 720 meter.
“Sehingga kini pembersihan tapak jajaran jalan raya sepanjang 26.0 km daripada 28.5 km telah selesai dilakukan.Jajaran jalan raya itu selari dengan sungai Batang Lupar dari Sebuyau hingga ke Lingga. Kerja-kerja menimbus pasir sudah bermula untuk lapisan permulaan,” katanya.
Menurut Julaihi, apabila siap kelak,jalan raya itu akan nenyediakan jalan perhubungan antara Bahagian Samarahan dan Simanggang dengan lebih mudah melalui Lingga.
“Jalan ini akan memendekkan jarak perjalanan dari Sebuyau ke Lingga berbanding jalan jauh melalui Lebuh raya Pan Borneo dari Kuching atau Samarahan atau Simunjan menuju ke Serian dan Sri Aman dan dari Sri Aman menuju Lingga.
“Siapnya jalan ini juga akan nenyediakan suasana memandu yang lebih selesa, membolehkan pembukaan kawasan pertanian baharu dan merancakkan pembangunan sektor sosioekonomi di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Beliau mengingatkan kontraktor supaya mengambil tenaga kerja tempatan, sama ada tenaga kerja biasa, pekerja separa mahir dan mahir serta pekerja separa profesional dan profesional tempatan seperti penyelia,jurutera, jurukur bahan dan lain-lain selain daripada terus bergantung kepada tenaga kerja asing.
Ini penting untuk melatih dan memberi pendedahan kepada pekerja tempatan dalam usaha melakukan pemindahan teknologi kepada pekerja tempatan dalam pelbagai lapisan dan pembangunan tenaga kerja teknikal, katanya.
Pemilik syarikat yang memperoleh kontrak itu juga diingatkan supaya selalu turun ke tapak projek dan memantau kemajuan projek dari semasa ke semasa daripada hanya bergantung harap kepada para jurutera atau wakil syarikat sahaja, katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti